Recent Post

Tuesday 6 March 2012

Siri Jelajah ABPBH 2011 di Kuantan, Pahang Meriah!!


LAUTAN manusia yang membanjiri setiap inci ruang legar pusat beli-belah Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang, petang semalam membuktikan siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 masih mempunyai pengaruh dan menjadi platform penting untuk mendekatkan peminat dengan artis kesayangan mereka.

Saban tahun, setiap kali acara promosi ini mengunjungi manamana lokasi terpilih, itulah juga pemandangan yang biasa dilihat. Ruang legar dan setiap tingkat pusat beli-belah akan menjadi sesak kerana masing-masing berebut-rebut untuk melihat artis yang diminati beraksi di atas pentas, dengan lebih dekat. Jika selama ini wajah popular itu hanya mampu ditatap menerusi layar kaca dan media cetak, kini artis yang diminati berada di depan mata. Andai bernasib baik, pengunjung yang hadir pada acara itu berpeluang mendekati, beramah-mesra dan merakamkan foto kenangan bersama. 









Tidak keterlaluan andai dikatakan inilah masanya untuk peminat menerima ganjaran atau habuan atas sokongan yang tidak berbelah-bagi selama ini. Hati mana yang tidak berbunga keriangan apabila berpeluang bersiar-siar dengan idola menaiki kenderaan Nissan Livina XGear dan Nissan Teana 2.5L (A) tajaan Edaran Tan Chong Motors Sdn Bhd. Walaupun ada ketika pengunjung yang diundang ke atas pentas `teruk' dikenakan pengacara petang itu iaitu Faizal Ismail, AG dan Along Cham, apabila mereka diminta melakukan pelbagai aksi yang boleh mengundang gelak ketawa penonton, namun usaha itu berbaloi kerana hadiah yang dibawa pulang cukup untuk dijadikan kenangan paling indah sepanjang hayat mereka. 

Satu-satunya kumpulan remaja yang berjaya melepasi tangga untuk bergelar finalis, Forteen, terus menjadi tumpuan penonton dengan persembahan mantap, selain wajah comel mereka. Kemunculan kumpulan ini menyampaikan lagu hasil ciptaan Edry Abd Halim mendapat tepukan gemuruh pengunjung terutama remaja wanita. 

Meskipun tempoh `kempen' yang diberikan penganjur amat singkat, namun masa itu digunakan sepenuhnya oleh finalis untuk menghargai peminat mereka serta mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang tidak berbelah bagi selama ini. Siri promosi jelajah ini akan diteruskan ke lokasi ketiga, Dataran Pahlawan, Melaka, pada 10 dan 11 Mac ini.


Sumber gambar dan berita : Web Rasmi ABPBH 2011

No comments:

Post a Comment