Recent Post

Akhbar & Majalah

Metro (19 Februari 2013)


Bukan Jual Wajah Jambu

Apa yang penting, kami berjaya membuktikan pada orang, Forteen memang boleh menyanyi dan bukan sekadar bersandarkan ‘wajah jambu’ semata-mata. Selepas menang AIM19, undangan per­sembahan tetap diterima sama macam biasa. 



Mangga (Februari 2013)


GAJET-GAJET MILIK JEJAKA KACAK FORTEEN!

SEBUT sahaja tentang gajet teknologi, pasti semua orang memiliki gajet yang menjadi keperluan masa sekarang. Ahli kumpulan Forteen yang popular dengan lagu Berdua Bersatu dan Seperti Dulu ini turut tidak ketinggalan memiliki gajet-gajet teknologi. Jom ikuti apa gajet yang dimiliki oleh ahli kumpulan Forteen yang dianggotai oleh empat orang jejaka tampan iaitu One, Izzue Islam, Ameer, dan Ariz.


Berita Harian (19 November 2012)


Forteen membuktikan kemampuan mereka dengan memenangi trofi Vokal Berkumpulan Terbaik.


Kosmo! (19 November 2012)


Group Forteen yang memenangi anugerah Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Lagu menerusi lagu Seperti Dulu mengikut trend terkini apabila menggayakan kot yang dipenuhi dengan 'paku' pada majlis AIM 19.


Media Hiburan (27 Okt-2 Nov 2012)


Forteen Teruja Disayangi Peminat Johor Bahru

Baru-baru ini, kumpulan remaja popular remaja Forteen telah menghadiri majlis perjumpaan dengan peminat mereka yang berada di Johor Bahru. Majlis yang diadakan di sebuah pusat karaoke ini dianjurkan seratus peratus oleh peminat Forteen di negeri tersebut. Lebih kurang 30 orang peminat hadir memeriahkan majlis pertemuan istimewa ini bermula jam 11 pagi hingga 3 petang.


Metro (22 Sept 2012)


MEMANG GEMPAK, MEMANG SANTAI

Suasana bertambah gamat dengan kemunculan kumpulan FOrteen yang dianggotai  One, Ariz, Ameerais, dan Izzue . Empat jejaka kegilaan peminat terutama golongan wanita ini menyampaikan lagu Seperti Dulu, This Love dan lagu popular mereka, Berdua Bersatu. Ketika ini pengunjung turut sama menyanyikan lagu merdu ciptaan Edry Abdul Halim. Menariknya kelab peminat mereka juga turut turun padang dari Kuala Lumpur memberikan sokongan. 

Mingguan Wanita (21-27 Sept 2012)


BAKAT LEBIH PENTING DARI RUPA

Tidak sekadar berbekalkan bakat, masing-masing juga diiringi rupa paras yang kacak. Namun wajah bukanlah penyebab utama kumpulan kumpulan ini ditubuhkan. Bakat yang dimiliki membuatkan KRU berani mempertaruhkan kumpulan ini di dalam industri seni.

Mangga ! (20 Sept 2012)


KISAH FORTEEN YANG CUTE & DIGILAI RAMAI AWEK!

WAH! Wah..semakin popular dan meletup-letup kumpulan Forteen kan! Bukan sahaja awek-awek yang digilakan mereka, Mangga dapat tahu peminat dari golongan mak nyah pun ramai tau! Kelas gitu uols! Selepas lagu Berdua Bersatu menjadi siulan, sekarang Forteen popular dengan lagu Seperti Dulu yang merupakan lagu tema filem 29 Februari.

Mingguan Malaysia- Pancaindera (14 Mei 2012) 



BERPECAH? FORTEEN BUKA MULUT

SATU ketika dahulu, kumpulan Forteen sama seperti kumpulan lain yang mahu naik dalam bidang seni, pernah menerima pandangan serong daripada mereka yang skeptikal dengan kumpulan baru.

Bukan apa, umpama satu badi, kalau ada saja kumpulan baru yang mahu menyertai bidang ini, mereka biasanya dianggap tidak mampu pergi jauh.

Lebih-lebih lagi apabila sudah banyak contoh di depan mata yang menyaksikan bagaimana satu persatu kumpulan anak muda terpaksa `bungkus’ dek kerana sukar meraih tempat di dalam industri.

Namun, selepas setahun bergelar anak seni, segala tanggapan negatif itu berjaya diatasi oleh Forteen, sekali gus membuktikan bahawa mereka bukanlah sebuah kumpulan picisan.

Dianggotai oleh Ariz, 23, One, 23, Ameerais, 22, dan Izzue Islam, 22, Forteen kini berada di puncak populariti apabila single berjudul Berdua Bersatu mendapat tempat di hati peminat.

Kejayaan itu juga membuktikan bahawa hadirnya mereka ke dalam industri muzik tanah air tidak cuma berlandaskan rupa `jambu’ semata-mata malah kemampuan vokal yang hebat.

Menyentuh mengenai populariti, Ariz yang mewakili kumpulan berkenaan menyifatkan Forteen bernasib baik kerana mereka benar-benar mempunyai bakat.

“Kami bersyukur kerana dipertemukan sebagai sebuah kumpulan yang kesemua anggotanya punya kelebihan vokal masing-masing.

“Ada yang menganggap Forteen di Malaysia bagai satu fenomena. Mungkin juga disebabkan generasi sekarang sudah terbuka menerima penyanyi berkumpulan seperti era 90-an," katanya.

Elak bikin masalah

Bercerita lanjut mengenai dilema sesebuah kumpulan yang jarang sekali mampu bertahan lama dengan keanggotaan yang sama, Forteen ada pandangan tersendiri.

Sambung Ariz lagi, Forteen bagi keempat-empat mereka cukup istimewa kerana masing-masing menganggap hubungan mereka akrab seperti adik-beradik.

Maka, apabila bercakap mengenai perpecahan, mereka sebenarnya bimbang sekiranya perkara itu benar-benar berlaku meski mengaku terbuka menerima ketentuan takdir.

“Kami pernah berbincang mengenai hal ini, andai kata satu hari nanti kami berpecah, kami akan terima. Mungkin masa tu, ada yang mahu tampil solo, tumpu pada lakonan dan melebarkan sayap ke cabang lain. Itu hak masing-masing.

“Kalau masa tu Forteen dah tiada pun, kami akan tetap terus berkawan dan yakin satu hari nanti akan muncul bersama. Walau apa pun, kami berani kata perkara itu tak akan berlaku walaupun bukan pada waktu ini," katanya tersenyum.

Dalam pada itu, kata Ariz, untuk menjaga imej Forteen, keempat-empat mereka sedaya-upaya mengelak daripada menimbulkan masalah. Paling menjadi keutamaan adalah soal disiplin.

“Kami faham, dalam banyak-banyak masalah yang ditimbulkan dalam sesebuah kumpulan ialah soal disiplin selain masalah komunikasi.

“Sebab itu, kami jaga disiplin kami agar Forteen kekal dengan imej bersih.

“Selain tu, kalau nak tahu kami juga jarang bergaduh. Kalau ada masalah, seboleh-bolehnya kami selesaikan secepat mungkin. Setakat ni, Alhamdulillah, kami berempat memang sekepala," katanya.

Kekal konsep

Empat anak muda ini sebenarnya tidak dapat menolak bahawa lagu Berdua Bersatu sebenarnya mempunyai aura yang hebat. Masakan tidak, lagu itulah yang membantu memacu nama mereka sehingga ke kemuncak kini.

Lagu ciptaan komposer Edry Abdul Halim itu memang berhantu. Kerana itu, apabila Forteen mahu muncul dengan single kedua, mereka ternyata perlu berhati-hati.

Bukan apa, kebimbangan mereka cuma satu. Kalau beralih konsep, mungkin aura Forteen itu sendiri akan lenyap.

“Perancangan untuk buat single kedua sudah ada. Malah, kami juga sudah ada beberapa material lagu yang diberikan oleh Edry. Namun, setakat ini, keputusan masih belum dibuat untuk menentukan lagu mana dipilih sebagai single kedua.

“Macam yang dibincangkan bersama Edry, kalau boleh kami tak mahu lari dari konsep Forteen yang sekarang ini," katanya.

Selain itu, menurut Ariz, mereka juga ada sebab mengapa dilihat begitu lambat untuk tampil dengan buah tangan baru.

“Dah ramai yang tanya kenapa Forteen belum ada single baru sebab ada yang dah bosan dengan Berdua Bersatu.

“Bagi kami, apa yang penting adalah kualiti. Kalau terburu-buru hasilkan lagu, nanti tak betul-betul puas hati, timbul masalah pula di kemudian hari.

“Kami nak elak benda-benda macam ni. Jadi tunggulah bila kami dah bersedia dengan single baru kami akan umum tak lama lagi," katanya.



Berita Harian (15 Mac 2012) 

 

Hanya dengan sebuah single, kumpulan Forteen nampaknya berjaya melonjakkan nama mereka di arena seni muzik, seterusnya mengatasi beberapa kumpulan atau gandingan lebih senior untuk mengisi kedudukan lima teratas kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011.

Ia tentu sekali pencapaian cukup membanggakan buat empat anak muda ini. Lagu Berdua Bersatu ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim membuatkan nama Saiful Ridzuan Abdul Hamid (Ariz), 22; Muhd Ridzuan Sharifuddin (Wan), 22; Mohamad Arif Amerais Azhar (Ameer), 21; dan Muhammad Izzul Islam Mazlan (Izzue), 21, kian dikenali.

“Alhamdulillah, pada usia kami yang tidak sampai setahun, kumpulan Forteen sudah mula meniti di bibir, walaupun peminat mungkin belum begitu mengenali setiap seorang daripada kami. Kami amat berhutang budi kepada Abang Edry yang menghasilkan sebuah lagu cukup baik buat kami.

“Kami juga sangat berterima kasih kepada Berita Harian, apabila penganjuran ABPBH2011 menjadi landasan buat kami mendekati peminat, seterusnya memperkenalkan lagi diri kami kepada mereka.

“Sepanjang beberapa minggu mengikuti siri jelajah anugerah ini, kami sendiri dapat berasakan auranya. Ia tidak syak antara landasan terbaik bagi mempromosikan acara ini, serta mendekatkan artis Top 5 dengan orang ramai,” kata Ariz ketika berkunjung ke Balai Berita, untuk menjayakan sesi fotografi bersama kereta Nissan Teana V6 2.5 L daripada Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, antara penaja utama ABPBH kali ini.

Pada ABPBH edisi ke-25, Forteen dicalonkan dalam kategori terbabit bersama-sama Bunkface, Meet Uncle Hussain, 6ixth Sense dan Tiga Suara (Ning Baizura, Jaclyn Victor dan
Shila Amzah).

 

Katanya, jika sebelum ini mereka beranggapan kehangatan anugerah itu hanya dirasakan pada malamkemuncak, namun pengalaman mengikuti siri jelajah mendedahkan mereka kepada pengalaman berbeza.

“Kemeriahannya sudah dirasa sejak siri jelajah lagi. Sebab itu kami tidak mahu ketinggalan mengikuti siri promosi ABPBH ini di setiap lokasi,” kata Ariz yang cukup teruja dapat memeriahkan acara berkenaan bersama barisan selebriti lain.

Begitupun, Forteen sebenarnya enggan menaruh harapan terlalu tinggi pada percubaan pertama mereka ini. Apatah lagi masingmasing sedar, kumpulan itu begitu baru berbanding calon akhir lain dalam kategori terbabit.

“Tidak layak rasanya untuk berada sebaris dengan mereka sebagai finalis. Namun kami amat bersyukur kerana peminat sudi mencalonkan kami. Ia tentu sekali penghargaan cukup besar buat Forteen.

“Saya juga tak sangka, sambutan diberikan peminat di setiap lokasi siri jelajah cukup hangat. Mereka sering mengerumuni kami, yang tentunya membuatkan kami lebih bersemangat untuk menghasilkanproduk lebih baik lagi. Dengan cara itu juga, mungkin peminat akan sentiasa memilih kami ke peringkat Top 5. Walaupun tidak menang, kami tak kisah kerana berjaya menyelit ke peringkat akhir itu sendiri sudah begitu bermakna buat kami,” katanya.

Dalam kehangatan single pertama yang kini kerap diputarkan di radio, Forteen juga sudah pun merakamkan empat lagi demo, untuk dijadikan single kedua.

“Empat lagu ciptaan Edry itu sudah siap dirakam dan kami hanya memilih satu lagu terbaik sebagai single seterusnya. Lagu yang masih belum mempunyai judul itu dikhabarkan
bakal menjadi lagu tema untuk filem atau drama tidak lama lagi,” ujar Ariz.

Teruja pandu uji Teana

 

Sebelum pemenang Bintang Paling Popular ABPBH2011 diumumkan, seterusnya memiliki Nissan Teana sebagai hadiah utama, anggota Forteen nampaknya terlebih dulu dapat menikmati pemanduan hebat bersama kereta mewah itu.

Menurut Ariz, meskipun kenderaan berkenaan nampak mewah dan sesuai untuk ahli korporat, sangkaan itu meleset sebaik sajamereka berpeluang memandu ujinya.

“Jika dilihat, kereta mewah itu memang nampak tak berapa sesuai dengan usia kami. Namun, selepas berpeluang mencuba, ia sebenarnya sangat sesuai dengan kami sebagai artis berkumpulan. Sangat selesa sekiranya kereta ini dijadikan kenderaan untuk ke lokasi persembahan. Bukan saja selesa, malah ruang dalam dan bonetnya sangat luas.

“Walaupun kita sendiri tidak tahu lagi siapakah pemilik kereta ini nanti, kami tetap berbangga apabila menjadi orang pertama memandu ujinya,” kata Izzue pula.

Bagi Izzue yang kini bergiat aktif dalam bidang lakonan, dia terpikat dengan keselesaan tempat duduk yang boleh dilaras secara automatik, selain kagum dengan teknologi GPS, kamera undur dan sistem audionya. Ameer pula sukakan reka bentuk luar Teana yang tampak mewah. Begitu juga dengan Wan, yang terpesona dengan penggunaan alatan dalaman berteknologi tinggi.


Media Hiburan (6 Mac 2012)


Berikutan ketiadaan salah seorang anggota kumpulan Forteen iaitu Izzue Islam dalam beberapa siri persembahan telah menimbulkan desas-desus bahawa kumpulan yang popular dengan lagu 'Berdua Bersatu' ini mengalami perselisihan faham.

MH Online lantas mendapatkan penjelasan daripada tiga ahli Forteen yang lain berhubung perkara ini.

"Ketiadaan Izzue Islam dalam beberapa persembahan kami sebelum ini tidak memberi sebarang masalah. Ini kerana pihak pengurusan sendiri sudah sedia maklum akan jadual lakonannya dan kami sentiasa bertolak ansur untuk kepentingan Forteen sendiri."

Cakap-cakap mengenai Izzue yang hanya muncul pada persembahan eksklusif dan berbayar sahaja, Forteen ada jawapannya sendiri.

"Ini semua hanya fitnah semata-mata. Sebagai contoh Izzue tetap hadir pada hari ini walaupun ianya hanya majlis santai bersama peminat. Setakat ini tidak pernah timbul masalah antara kami. Diharapkan isu-isu ini tidak dibangkitkan lagi," ujar mereka.


Berita Harian (24 Februari 2012)


Finalis meriahkan Shah Alam
Peluang jadi artis rakaman KRU Records menerusi BIBH 

PELUANG menjadi artis rakaman KRU Records antara 'hadiah' menarik kepada mereka yang bernasib baik menyertai Bintang Idola Berita Harian (BIBH) sempena jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) yang dimulakan di SACC Mall, Shah Alam pada Sabtu (25 Februari) dan Ahad ini (26 Februari).
Uji bakat atau saringan awal BIBH diadakan pada 25 Februari untuk memilih 10 peserta terbaik yang akan bertanding di peringkat Mall (membeli belah) pada keesokannya.
Selain itu, siri jelajah ABPBH2011 kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran finalis atau Top ABPBH2011 yang bakal muncul di SACC Mall, Shah Alam nanti terdiri daripada Adi Putra, Rozita Che Wan, Eja, Izara Aisyah, Aeril Zafrel, Fara Fauzana selain Meet Uncle Hussain, 6itxh Sense dan Forteen. 

Lebih gamat apabila bintang Raja Lawak, Along yang saban tahun setia selaku pengacara majlis bakal bertemu regunya, Zizan yang sudah tentu membuatkan penonton tidak kering gusi. 

Dua bakat baru yang dicungkil daripada BIBH, Ad Azhar serta Shima yang sudah disunting sebagai artis rakaman juga akan mempersembahkan lagu mereka. Bagi kumpulan Forteen yang pertama kali dipilih sebagai finalis, mereka mengakui teruja untuk bertemu peminat malah sudah mengosongkan hujung minggu demi memenuhi undangan memeriahkan sesi jelajah di empat lagi lokasi. 

Anggotanya, One atau nama sebenar Muhammad Ridzuan Sharifuddin, berkata jika tahun lalu mereka muncul di pentas jelajah di Klang, Selangor hanya sebagai bakat baru, aura kali ini cukup berlainan apabila mereka berdiri dalam senarai finalis. 
“Sejak dulu kami mengikuti perkembangan ABPBH. Tahun lalu kami berpeluang mempromosikan single, Berdua Bersatu yang ketika itu belum diputarkan di radio dan boleh dikatakan ia persembahan ke tiga Forteen di hadapan khalayak yang besar. 

“Bersaing dengan kumpulan dan penyanyi berpengalaman selain dapat bertemu peminat dengan lebih dekat - hujung minggu ini kami nantikan dengan rasa teruja,” katanya. 

Tunjang lain Forteen ialah Saiful Ridzuan Abdul Hamid (Ariz); 23, Mohd Arif Ameerais Azhar (Ameer); 22, serta Muhammad Izzul Islam Mazlan, 22. 

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk ABPBH merangkap Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar berkata pelbagai keistimewaan disediakan buat pengunjung sebagai penghargaan terhadap pembaca akhbar ini yang menyokong ABPBH hingga ke tahun ke-25. 

“Buat pengunjung kami menyediakan hadiah istimewa menerusi penganjuran acara khas yang julung kali diadakan iaitu pertandingan Kek Terbaik serta Pakaian Terbaik Mengikut Tema ABPBH 2011 - Big, Bold and Silver. Kalau boleh kami galakkan datang dengan memakai baju merah sebagai tanda memeriahkan lagi suasana jelajah promosi ini. 

“Bagi Kek Terbaik, pengunjung perlu menyediakan kek ulang tahun ABBPH dengan kreativiti sendiri dan hantar ke lokasi jelajah bagi meraih peluang malam bersama artis kesayangan manakala Pakaian Terbaik mengikut tema akan menerima ganjaran tajaan Lux,” katanya mengenai kedua-dua pertandingan yang berlangsung Ahad. 

Pada masa sama, pengunjung mendapatkan barangan premium ABPBH 2011 yang dikeluarkan khas sempena jubli perak seperti pelekat bermagnet gambar pemenang musim lalu selain sesi fotografi istimewa. Anda hanya perlu menukarnya dengan 10 keratan kepala akhbar BH untuk mendapatkan pelekat magnet artis sempena siri jelajah promosi ABPBH2011. 



Remaja (Julai 2011)


Yezz ! (Disember 2011)



Pancaindera Mingguan Malaysia (11 September 2011)


Mangga (Januari 2012)


Bi-Pop Berita Harian (18 Disember 2011)


Utusan Malaysia (01 Februari 2012)


Utusan: Forteen Mahu Ubah Stigma

HANYA berbekalkan sebuah lagu, Berdua Bersatu, kumpulan vokal terbaru taruhan KRU Music, Forteen kini boleh berbangga dan tersenyum puas dengan kejayaan mereka.

Tidak sampai setahun, populariti yang dikecapi sudah setanding dengan penyanyi popular lain dan mula mengumpul peminat sendiri.



Namun, kumpulan yang dianggotai empat anak muda iaitu One, Ariz, Ameer dan Izzue ini tidak mahu jangka hayat mereka bergantung kepada lagu Berdua Bersatu sahaja.



Sebaliknya Forteen mahu kelangsungan populariti mereka berterusan sehingga sampai ke satu tahap mereka benar-benar puas.



"Alhamdulillah, kami sendiri tidak pernah menyangka lagu Berdua Bersatu telah melonjakkan nama kami di persada seni tanah air.



"Kehadiran kami bukanlah hanya sekadar mahu memeriahkan industri seni suara semata-mata. Sebaliknya, Forteen mahu mengembalikan kegemilangan populariti kumpulan vokal yang pernah mendominasi pasaran muzik satu ketika dahulu.

"Kami percaya kekuatan lagu Berdua Bersatu ciptaan Edry Abdul Halim ini sebenarnya memainkan peranan yang bukan kecil dalam memperkenalkan kami kepada khalayak," kata One mewakili teman-temannya sewaktu ditemui di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Forteen percaya populariti yang dikecapi ketika ini ada kaitannya dengan strategi pemasaran yang sangat berkesan oleh KRU Music.

Serasi

Sekadar berkongsi cerita penubuhan mereka, One menjelaskan kesemua anggota kumpulan Forteen dipertemukan dalam satu sesi uji bakat tertutup yang dianjurkan oleh KRU Music.

Jika ada yang terlupa, One terlebih dahulu mencipta nama sebagai penyanyi dan pernah dinobatkan dengan trofi Artis Harapan Anugerah Industri Muzik Ke-13 (2006).

Bahkan, pemilik nama penuh Muhammad Ridzuan Sharifuddin ini juga pernah menyertai pertandingan realiti terbitan 8TV, One In A Million musim ketiga.

Sementara Izzue pula menceburi bidang seni sebagai pelakon sebelum mencuba nasib untuk menjadi seorang penyanyi.

Begitu juga dengan Ameer yang sebelum ini pernah menyanyi di persembahan kecil manakala Ariz pula bakatnya dikesan menerusi laman YouTube.

"Selepas melihat kebolehan kami dalam menyampaikan lagu secara berharmoni, kami digabungkan menjadi sebuah kumpulan.

"Walaupun tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya bertemu selepas dipanggil semula oleh KRU, kami tidak mengambil masa yang lama untuk mencipta keserasian," kata Ariz atau nama sebenarnya, Saiful Ridzuan Abdul Hamid yang berusia 23 tahun.

Mungkin bagi sesetengah pihak, untuk menjadi sebuah kumpulan vokal, cabaran yang timbul adalah untuk mencari kelebihan dalam menonjolkan kredibiliti vokal masing-masing.

Dalam konteks kedudukan Forteen pula, Izzue menjelaskan Edry selaku komposer lagu-lagu mereka lebih arif untuk mengetahui kekuatan vokal setiap anggotanya.

"Setakat ini kami tidak mempunyai sebarang masalah dari aspek nyanyian kerana semuanya telah diatur dengan baik.

"Jadi, kami tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak pernah timbul soal untuk membuktikan siapa memiliki vokal paling hebat dalam Forteen. Setiap daripada kami tahu tugas masing-masing kerana semua memiliki kelebihan tersendiri," kata Izzue anak kelahiran Kampung Badak Mati, Kota Bharu, Kelantan dalam nada optimis.

Impak

Meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat kerjaya mereka berjalan dengan baik, Forteen mengakui kekuatan dan impak Berdua Bersatu masih belum kebah sehingga kini terus bertahan dalam carta radio popular.

Biarpun begitu, Forteen tidak mahu terus leka sebaliknya memberitahu bahawa mereka kini sedang dalam perbincangan untuk merakamkan single kedua mereka.

Cukup sedar genre pop balada sudah serasi dengan imej mereka, Ameer pula memberitahu berkemungkinan besar single seterusnya juga masih lagi mengekalkan konsep yang serupa.

"Sebagai bakat baru, Forteen mahu menjadi kumpulan yang versatil dan tidak terikat kepada satu genre sahaja. Kami juga ingin menonjolkan variasi kepada penyampaian kami.

"Malah, kami juga mengharapkan agar kami dapat tampil dengan sebuah album mini. Sebenarnya, banyak perancangan yang kami ingin lakukan dalam mengukuhkan lagi kedudukan di dalam industri.

"Bernaung di bawah KRU Music juga telah memberikan inspirasi kepada kami untuk berjaya seperti sifu kami iaitu KRU.

"Mungkin kedengaran impian ini agak tinggi, tetapi kami juga mahu bakat kami diiktiraf dalam anugerah berprestij seperti Anugerah Industri Muzik," jelas pemilik nama penuh Mohamad Ameerais Azhar ini bersungguh.

Kekal

Melihatkan kepada jangka hayat kumpulan vokal di negara ini yang tidak dapat bertahan lama, apakah Forteen sudah bersiap-sedia seandainya perkara itu akan menghampiri mereka kelak.

Tidak mahu berfikiran negatif, sebaliknya One memberitahu dengan kerjaya seni yang baru bermula, mereka masih lagi memerlukan pengalaman bagi memastikan Forteen mampu terus bertahan.

"Saya mengambil contoh diri saya sendiri di mana Forteen sebenarnya telah menjenamakan diri saya semula. Benar, saya sudah bergiat dalam bidang ini sejak berusia 16 tahun lagi.

"Banyak rintangan dan cabaran yang telah saya tempuhi dalam mengejar cita-cita sebagai seorang penyanyi. Satu persatu peluang yang saya cari tetapi ia tidak membuahkan hasil seperti mana yang diharapkan.

"Lalu, apabila bersama Forteen, saya bersyukur dan rasa diri ini sangat bertuah kerana segala kepayahan masa lalu sudah mula dibalas dengan kejayaan ini.

"Dalam masa yang sama, saya masih menyimpan hasrat untuk muncul dengan album solo yang telah lama diimpikan," kata anak jati Kuala Lumpur ini tanpa selindung.

Begitu juga dengan Izzue yang harus membahagikan masanya antara lakonan dan nyanyian.

Tetapi, kata pemuda berusia 22 tahun itu, mujurlah dengan bantuan pihak pengurusan KRU, dia tidak berhadapan dengan sebarang masalah kerana semuanya diatur dengan baik.

"Untuk tidak menyusahkan diri saya dan pihak lain, saya lebih selesa untuk berterus-terang mengenai kerjaya. Seandainya terikat dengan penggambaran, saya akan memberitahu pihak pengurusan dan mereka akan mengubahnya.

"Begitu juga jika perlu melibatkan diri dalam mana-mana persembahan, saya akan menjelaskan kepada pihak produksi drama yang saya terlibat.

"Saya tidak mahu menjadi seorang yang tamak sehingga akhirnya ia menyumbang kepada masalah buat diri sendiri," jelas Izzue yang pernah membintangi filem Songlap dan kini sibuk di lokasi filem Ular arahan Jason Chong.

Lapuk

Sudah menjadi resmi untuk artis baru terutama berkumpulan seperti Forteen yang memiliki paras rupa comel dan kacak yang dikaitkan dengan hubungan songsang sejenis.

Malah, angin sepoi-sepoi bahasa mula bertiup apabila "kisah" di sebalik lagu Berdua Bersatu yang dikatakan cuba mengupas cinta terhalang sepasang lelaki.

Agak terkejut dengan cerita yang tersebar itu, Ameer menjelaskan dia dan rakan-rakannya tidak dapat menghalang sesiapa seandainya ada yang berfikiran sebegitu.

"Forteen mahu mengubah stigma lapuk itu dan berharap masyarakat tidak lagi memandang serong kepada penyanyi berkumpulan seperti kami.

"Apakah setiap kali munculnya kumpulan artis lelaki, isu itu harus dibangkitkan? Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita semua berfikiran terbuka dan tidak lagi mempunyai pemikiran lapuk seperti itu.

"Masyarakat kini sudah pandai menilai dan bakat yang menjadi keutamaan. Forteen mahu dikenali kerana lagu dan bakat yang dikurniakan. Seboleh-bolehnya, bukan kerana cerita yang tidak enak mahupun gosip liar," kata Ameer penuh diplomasi sambil memohon agar cerita itu tidak dibangkitkan lagi.

--
Credit: Utusan




Metro (28 Januari 2012)


Metro: Bersenam, Menari, Menanyi Forteen Isi Masa Mantapkan Stamina Ketika Tiada Undangan Persembahan

Gua (28 Oktober 2011)


GUA: Showcase OMG Gempak! Kerjasama KRU Studios & Red Box 

Bagi mempromosikan album kompilasi terbaru ‘OMG Gempak!’ dan wajah baru Red Box Ria, KRU Studios dan Red Box telah bergabung bagi menjayakan Showcase OMG Gempak! yang akan diadakan di Dewan Serbaguna, Tingkat 7, KL SOGO pada 19 November hadapan. Showcase yang bakal bermula jam 2.00 petang itu akan dihangatkan dengan persembahan daripada artis-artis naungan KRU Studios seperti Forteen, Iqa (Mentor), Tiga dan Chomell Fana.



Sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang banyak memberi sokongan selama ini, KRU Studios juga bakal menampilkan persembahan eksklusif daripada Ning Baizura. Tidak ketinggalan, penampilan istimewa Najwa Latiff yang sedang popular dengan single ‘Cinta Muka Buku’.



Dalam sidang media yang diadakan kelmarin, Pengarah Urusan Kumpulan Red Box Karaoke, Valerie Choo memberitahu pihaknya cukup berbesar hati dapat berkerjasama dengan KRU Studios kerana yakin artis-artis naungan mereka mempunyai peminat yang cukup ramai dan mampu menghiburkan pelanggan setia Red Box sejak enam tahun lalu.



“Ini adalah kerjasama julung-julung kali di antara Red Box dan KRU Studios. Objektif showcase ini selain daripada meraikan wajah baru Red Box Ria dan mempromosikan album kompilasi OMG Gempak!, ia juga adalah tanda penghargaan kepada pelanggan setia Red Box. Sebab itu kita pilih barisan artis baru dan lama bagi mewakili setiap lapisan usia pengunjung kami.



Selain daripada persembahan nyanyian, kita juga akan mengadakan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. Antaranya Jam Tangan Ice Watch serta pakej pelangsingan dan kecantikan dari Glow & Glamour,” ujar Valerie.


Mereka yang berminat untuk menyaksikan Showcase OMG Gempak!, pas-pas percuma boleh didapati di semua rangkaian Red Box, Red Box Ria, dan Green Box di seluruh negara. Bagi yang ingin memenangi pas masuk VIP dan peluang beramah mesra dengan artis sebelum showcase berlangsung, anda boleh mengikuti info terkini melalui media rasmi iaitu www.gua.com.my sendiri, Harian Metro, Suria.fm dan MyDeal.com. Sebanyak 500 pas VIP disediakan.

Sementara itu, ada berita baik buat peminat yang berada di Utara Semenanjung. Anda tidak perlu bersusah-payah untuk ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan Showcase OMG Gempak! ini. Malah, anda juga boleh berhibur bersama artis kegemaran lebih awal berbanding peminat di Lembah Klang. Pada 5 November ini, Showcase OMG Gempak! akan singgah ke cawangan Red Box Gurney Plaza pada jam 3.00 petang. Jadi, jangan lepaskan peluang ini untuk sama-sama memeriahkan suasana.


Kosmo (20 Oktober 2011)



Kosmo: Forteen Semakin Popular


EMPAT jejaka mempunyai minat yang sama iaitu seni dipertemukan oleh komposer terkenal Edry Abdul Halim yang merupakan trio kumpulan KRU untuk membentuk kumpulan vokal bernama Forteen.

Forteen yang membawa maksud untuk remaja dianggotai oleh empat jejaka iaitu Saiful Ridzuan Abdul Hamid, 22, (Ariz); Muhammad Ridzuan Sharifuddin, 22, (One); Mohamad Arif Ameerais Azhar, 21, (Ameer) dan Muhammad Izzul Islam Mazlan, 21 (Izzue Islam).



Mereka yang kini sedang hangat dengan lagu single pertama berjudul Berdua Bersatu bersyukur dengan penerimaan peminat terhadap buah tangan pertama mereka.



"Tidak sangka, lagu Berdua Bersatu diterima ramai, kami semua bersyukur sangat kerana kami sedar bukan mudah untuk sesebuah disukai oleh segenap lapisan masyarakat.



"Memang konsep untuk lagu-lagu kami adalah pop balada dan sebuah kumpulan vokal bukannya tarian, mungkin sebab itu ramai yang boleh layan lagu ini tidak kiralah remaja atau orang dewasa," tutur Ariz.


Meskipun bernaung di bawah payung KRU, itu tidak bermakna imej serta lagu-lagu mereka seperti KRU sebaliknya mereka berusaha keras untuk tampil dengan imej dan identiti sendiri bagi membezakan mereka dengan kumpulan nyanyian yang pernah wujud di Malaysia.

"Orang sering salah anggap kami kumpulan tarian, sebenarnya kami kumpulan yang mempertaruhkan vokal berharmoni bukannya tarian.

"Lagu-lagu kami juga bergenre balada, malah imej kami kemas seperti berkemeja dan bersut . Jika ada orang ingin menyamakan kami dengan kumpulan Korea terpulang pada mereka. Bagi kami fesyen sangat subjektif," jawab One.

Menceritakan perjalanan seni mereka, ujar One yang sebelum ini dikenali sebagai Rizu kerana penyertaannya dalam program realiti popular One In A Million (OIAM) musim ketiga, keempat-empat mereka mempunyai perjalanan seni masing-masing sebelum ini.

Sebaik tamat OIAM, One yang berasal dari Ipoh, Perak itu cuba untuk muncul sebagai penyanyi solo, bagaimanapun tuah tidak menyebelahinya.

"Ramai yang mempertikaikan keputusan saya untuk menyertai Forteen kerana sebelum ini saya telah dikenali. Tetapi mereka tidak tahu, kerjaya saya sebagai penyanyi solo kurang memberangsangkan.

"Jadi, saya ingin mencuba sesuatu yang baharu tambahan kumpulan ini merupakan anak didik KRU, saya rasa keputusan yang saya ambil merupakan keputusan yang tepat," jawab One yang bersatu dengan Forteen pada Mac lalu.

Tambahnya lagi, peluang yang diberikan KRU kepadanya tidak akan datang buat kali kedua kerana hasratnya hanyalah untuk mengembangkan bakat seni yang dimiliki.

"Apa yang saya lihat sekarang ini sudah tidak ada kumpulan vokal seperti Forteen, jadi kemunculan kami pada waktu ini merupakan satu kelebihan dan diharap peminat akan menyokong kami," katanya.

Ameer yang merupakan pelajar semester akhir di Food Institute Of Malaysia sebelum ini aktif dengan band indie manakala Izzue Islam pula sebelum ini aktif dalam bidang seni sebagai pelakon sejak dua tahun yang lalu.

"Selepas habis sekolah saya berniaga burger di kampung, sebelum ke Kuala Lumpur dan kerja di kedai makan sebagai pembancuh air sebelum terjebak dalam bidang seni. Waktu itu saya hadir uji bakat drama Kampung Jaguh dan bermula dari situ saya bergiat aktif dalam lakonan," ujar Izzue.

Jelas Izzue yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu lagi dia menjadi salah seorang ahli Forteen selepas dia menghadiri uji bakat.

"Saya tidak sangka dapat bernaung dan mendapat tunjuk ajar daripada KRU kerana bagi saya nama mereka cukup besar dan pernah menghasilkan band-band pop yang popular," tuturnya yang pernah berlakon dalam drama Cita dan Cinta.

FORTEEN berharap agar kehadiran mereka sebagai grup vokal harmoni diterima baik.

Seorang lagi ahli mereka, Ariz pula dipanggil uji bakat selepas dia memuat turun video nyanyiannya di laman sosial video popular You Tube.

"Dalam kami berempat, saya yang paling tiada pengalaman dalam bidang seni, cuma saya memang minat menyanyi. Tidak sangka pula, daripada suka-suka kini nyanyian menjadi kerjaya yang serius buat saya," luah Ariz yang juga merupakan seorang jurugambar bebas.

Walaupun mereka masih baharu dan hanya mempunyai sebuah lagu single yang telah dirakamkan, Forteen mempunyai perancangan jangka panjang untuk meneruskan kelangsungan mereka dalam industri seni.

"Kalau boleh kami mahu nama Forteen dikenali ramai dan berjaya seperti mana kejayaan yang dikecapi oleh mentor kami iaitu KRU.

"Melihat kepada sambutan, mungkin kami akan merakam lagu single yang kedua. Tetapi buat masa ini kami memberi tumpuan yang sepenuhnya untuk mempromosikan lagu Berdua Bersatu.

"Kami sedar perjalanan masih panjang, tetapi untuk hari ini kami mengharapkan sokongan daripada peminat semua," luah One.

--
Credit: Kosmo



Utusan Malaysia (13 Ogos 2011)


Utusan: Forteen Mahu Ubah Stigma


HOBI mengumpul barangan yang mempunyai nilai sentimental sememangnya ada pada setiap individu kerana apa yang tersirat di sebalik koleksi tersebut menyimpan seribu satu kisah yang tidak akan dilupakan oleh si empunya.

Begitulah juga yang diceritakan oleh setiap anggota kumpulan pop yang bernaung di bawah KRU Studios iaitu Forteen mengenai barangan peribadi milik mereka berempat.



Forteen dianggotai oleh empat anak muda, Saiful Ridzuan Abdul Hamid, 22 (Ariz), Muhammad Izzul Islam Mazlan, 21 (Izzue Islam), Mohamad Arif Ameerais Azhar, 21 (Ameerais) dan Muhammad Ridzuan Sharifuddin, 22 (One).



Kini, kumpulan Forteen mula mencipta nama apabila lagu Berdua Bersatu nyanyian mereka mula diputarkan di corong-corong radio tempatan dengan persembahan vokal yang mengagumkan.



Trofi AIM13 kebanggaan One



ONE sebelum ini pernah dikenali sebagai Rizu tatkala dia menyertai program realiti One In A Million (OIAM) musim ketiga pada 2009.

Namun, pada 2006, jejaka bertubuh kecil ini pernah dinobatkan selaku Artis Harapan pada majlis Anugerah Industri Malaysia Ke-13 (AIM13).

Justeru, trofi yang dimenangi pada waktu itu merupakan antara barangan peribadi yang paling disayanginya selain beberapa koleksi lain.

“Saya amat berbangga dengan kejayaan menggenggam trofi ini kerana tidak semua artis memilikinya.

“Ditambah pula, ketika itu, saya baru setahun jagung dalam industri ini.

“Di samping itu, saya juga memiliki pemain cakera padat dan mikrofon yang akan dibawa ke merata tempat jika membuat persembahan,” katanya.

Ariz setia dengan Nikon D60

BAGI anak kelahiran Melaka, Ariz yang bertindak selaku jurucakap Forteen, kegemarannya merakamkan setiap aktiviti yang dilakukan telah merealisasikan impiannya untuk memiliki kamera digital Nikon D60.

Beritahu Ariz, kamera tersebut adalah hadiah pemberian ayahnya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-19, lebih dua tahun lalu.

“Saya tidak pernah minta sesiapa untuk menghadiahkan kamera ini kepada saya termasuk ayah saya.

“Mungkin disebabkan hobi saya yang suka mengambil gambar membuatkan ayah terbuka hati untuk menunaikan hasrat yang dipendam selama ini,” ujar Ariz.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, begitulah gembiranya hati Ariz apabila memiliki kamera tersebut dan sentiasa membawanya ke mana sahaja.

Vespa kesayangan Izzue Islam

BERMODALKAN RM8,000, jejaka yang selesa menggayakan imej retro dan klasik ini membeli sebuah motosikal Vespa model LML Star Deluxe yang menjadi kegilaannya.

Menurut Izzue, bersesuaian dengan jiwa raganya, motosikal Vespa berwarna kuning cair itu merupakan kenderaan pertama yang dibeli menggunakan wang hasil titik peluhnya sendiri.

“Saya membelinya hampir setahun lalu di salah sebuah kedai menjual motosikal Vespa di ibu kota.

“Inilah kenderaan saya sekarang untuk ke mana-mana destinasi yang ingin saya tuju.

“Kalau tidak, sebelum ini saya hanya menumpang kawan ataupun menaiki kenderaan awam,” jelas Izzue sambil memberitahu motosikalnya itu menarik perhatian ramai ke mana sahaja dia pergi.

Gitar ilham Ameerais

JEJAKA tinggi lampai yang mahu dikenali sebagai Ameerais ini mengakui, dia sebenarnya tidak begitu pandai bermain gitar.

Namun, minatnya untuk mendalami kemahiran bermain gitar begitu menggunung sehinggakan dia kini memiliki dua buah gitar yang salah satunya berjenama Santa Cruz.

Katanya, alat muzik berkenaan dibelinya sendiri dan dia akan memetik gitar tersebut jika mempunyai kelapangan.

“Kadang-kadang, kalau tidak ada apa-apa aktiviti di rumah, saya akan petik gitar untuk mencipta alunan melodi yang sedap didengar.

“Tetapi, saya baharu cuba belajar. Kemahiran saya masih lagi sedikit. Namun, suatu hari nanti, saya ingin pastikan Forteen akan menyanyikan lagu ciptaan saya sendiri,” katanya dalam nada bergurau tetapi serius.

--
Credit: Utusan Malaysia



mStar Online (20 October 2011)


mStar: Forteen Tak Mahu Di Cop Artis K-Pop 


PETALING JAYA: Kumpulan baru, Forteen tidak mahu dilabel sebagai penyanyi berkumpulan ala Korea, K-Pop, sebaliknya menjelaskan muzik mereka lebih ke arah konsep Barat.



Kata salah seorang daripada kumpulan yang bernaung di bawah label KRU Studios itu, Ariz, ramai yang keliru dengan konsep muzik yang dibawakan Forteen dan mereka ingin mengubah persepsi tersebut.



"Kami tidak mahu di cop sebagai artis berkumpulan ala K-Pop walaupun sekarang ini musim K-Pop melanda di negara kita. Tetapi cara imej yang dibawakan ada sedikit unsur-unsur dari Korea.



"Bagaimanapun Forteen membawakan muzik berkonsepkan pop dan kami mengambil rujukan daripada kumpulan seperti Westlife, Il Divo dan juga KRU.



"Janganlah pula menganggap kami merujuk konsep lagu KRU kerana kami berada di bawah label kumpulan itu," selorohnya.



Selain Ariz,ahli kumpulan Forteen terdiri daripada One, Izzue dan Ameer.

Menurut One pula, walaupun kurang gemar dengan pandangan orang mengenai konsep muzik yang dibawakan, dia dan ahli kumpulannya itu bersyukur kerana ia menunjukkan Forteen semakin dikenali.

"Inilah masanya untuk kami menunjukkan bakat yang dimiliki masing-masing. Walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa kumpulan ala K-Pop di Malaysia, ia merupakan cabaran kami untuk menyaingi mereka.

"Alhamdulillah, “single” lagu pertama kami iaitu “Berdua Bersatu” merupakan kejayaan pertama kami lebih-lebih lagi ia kerap dimainkan di radio. Itu juga menunjukkan peminat memberi respons yang memberangsangkan," ujarnya.

Selepas “Berdua Bersatu”, Forteen bakal muncul dengan “single” kedua pula dalam masa terdekat ini dan mereka juga bercita-cita untuk menghasilkan sebuah album penuh jika “single” lagu yang dibawakan menerima respons positif.

"Diakui Forteen masih baru dan terlalu jauh lagi perjalanan untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam industri seni yang penuh dengan saingan.

"Apabila melihat jumlah peminat menerusi akaun Facebook kami iaitu http://www.facebook.com/pages/Forteen lebih daripada 15,000 orang, ia sudah cukup buat kami gembira dan lebih bersemangat lagi untuk meneruskan kerjaya kami.

"Harap Forteen dapat memberikan sesuatu yang positif dalam mengembangkan industri muzik tempatan," kata Izzue pula.

--
Credit: mStar

1 comment:

  1. bila kumpulan forteen nak kuat album//dgr kata bulan 10 tapi tarikh berapa

    ReplyDelete