Recent Post

Tuesday, 20 March 2012

Gegaran Road Tour ABPBH 2011 Sungai Petani

 

SEMUANYA tersenyum puas, tidak kira sama ada artis mahupun peminat, sejurus tamatnya siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 keempat di Village Mall, Sungai Petani, Kedah, kelmarin. Tentunya ia detik sukar dilupakan pengunjung pusat beli-belah terkenal itu apabila mereka dapat bersua muka dengan artis kegemaran masing-masing.

 

 

Apatah lagi buat peminat Aaron Aziz dan Shaheizy Sam, antara finalis yang mendapat sorakan paling hebat, seperti mahu runtuh premis komersial terbabit. Jeritan peminat, terutama perempuan, di ruang legar pusat beli-belah itu kuat bergema sebaik saja artis ini muncul dari belakang pentas. Pelbagai aksi ditonjolkan oleh finalis dan artis undangan acara siri jelajah kali ini, dalam menghiburkan kira-kira 5,000 peminat yang hadir. Sesak macam mana sekali pun, ia tidak menghalang mereka untuk melihat dari dekat seterusnya beramah mesra bersama barisan bintang pujaan masing-masing. Di samping acara permainan dan sketsa menghiburkan, selingan nyanyian daripada One Nation Emcees, Forteen, Shila Amzah dan Najwa Latif secara tidak langsung membuatkan siri jelajah promosi ini bertambah menarik. Shila yang diserang demam harus dipuji kerana dia masih mampu menghiburkan peminat dengan dua lagu iaitu Price Tag, nyanyian asal Jessie J, dan Patah Seribu.

 

 

Meskipun masa agak terhad, inilah peluang keemasan bagi finalis mempamerkan penghargaan mereka kepada peminat yang setia mengundi mereka hingga ke peringkat Top 5. Biarpun ada di antara mereka sibuk dengan aktiviti seni, tetapi masih mampu meluangkan seketika untuk bermesra bersama penyokong. Ternyata acara yang dihadiri lebih 20 finalis daripada 16 kategori ini kenangan sukar dilupuskan. Lebih bermakna apabila peminat dapat mengabadikan kenangan bersama artis dalam bentuk foto yang dicetak bersama logo ABPBH. Najwa, Forteen, Johan As'ari, Hafiz dan Hazama ialah antara artis yang berkesempatan untuk bergambar bersama peminat sebelum acara pentas dimulakan pada jam 2 petang. Siri jelajah promosi ini akan menemui peminat di destinasi terakhir iaitu di Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru, pada 23 hingga 25 Mac.

 

Sumber berita : Web Rasmi ABPBH 2011

No comments:

Post a Comment